TAZKIRAH
 
 
Warkah Untuk Sahabat...
 
 
Buat sahabat yang kukasihi,   

Apa khabar agaknya kau sekarang? Sudah lama benar rasanya kita tidak berutus khabar apatah lagi bertemu muka. Entahlah. Aku pun kurang pasti kenapa kita masih berjauhan. Bagi diriku, engkau tetap kuanggap sahabat yang paling kukasihi. Sebenarnya berat untukku mencoretkan warkah ini buatmu. Lama ku fikirkan permasalahan ini. Untuk bertemu denganmu, tak sanggup rasanya lalu tanpa berlengah aku terus mengambil keputusan untuk menulis warkah ini. Aku harap selepas ini kita dapat menyambung semula ikatan silaturrahim yang selama ini kaku dan lesu.   

Sahabat...   

Memang kita lahir dari sebuah kepincangan. Persahabatan yang selama ini terjalin kukuh dan padu akhirnya pecah berderai umpama kaca. Babak luka itu masih kusimpan padu dalam ikatan memori 1000 duka. Hingga kini aku masih tidak dapat mencari apa silapku sebenarnya. Hatiku pilu mengenangkan perlakuanmu yang pastinya merobek hatiku. Aku diselubungi kekecewaan dan kesedihan.Tidurku bertemankan kegelisan dan kerinduan. Dalam gerimis diulit luka 1000 rindu.   

Sahabat...   

Sifatmu yang dahulunya lemah lembut dan bersopan santun telah hilang dimamah waktu. Apa yang kita pelajari dahuhlu hampir kau lupakan dengan begitu mudah.Percakapanmu yang dulunya kau tuturkan dengan penuh teratur semakin berubah.Ayat yang keluar dari mulutmu juga semakin kasar. Dimanakah dia sifat Saidatina Fatimah yang engkau agung-agungkan dahulu?   

Sahabat...   

Peribadimu yang dahulunya sungguh anggun dimata Islam semakin hilang. Engaku seolah-olah lupa dengan identiti sendiri. Rambutmu panjang mengurai dan lembut itu lebih senang kau persembahkan kepada orang ramai daripada tersimpan rapi disebalik tudung. Tudungmu yang berbagai gaya kau biarkan lesu di dalam loker hanya menjadi perhiasan. Tubuhmu yang dahulunya kau simpan rapi disebalik kain kau biarkan ia dipertontonkan di khalayak ramai. Apa silapmu sahabatku? Lupakah engkau dengan azab Allah di akhirat kelak?   

Sahabat...   

Pergaulanmu yang dahulunya kau jaga semakin berubah. Engkau berkawan dengan sesiapa   
sahaja tanpa batasan. Tawamu yang kau lagukan hanya di dalam tabir telah kau buka luas. Perhubunganmu dengam yang bukan mahram semakin bebas. Aku sedar bahawa Islam menggalakkan umatnya mempunyai kawan yang ramai, tetapi perlu ada batasan yang perlu diikuti.   

Sahabat...   

Semoga engkau sudi meluangkan sedikit masa untuk membaca warkah ini buat   
kebaikan dirimu. Sekian.. Wassalam.. 
 

 
 
Kamal Baharin Sudin
Teluk Intan
 
||| :: Tazkirah :: Forward >>>